Monday, June 27, 2011

Laporan Bergambar

Laporan Program Khidmat Masyarakat

Sunday, June 26, 2011

Majlis Doa Selamat & Penyerahan Sumbangan




Pada 25.6.2011 (sabtu) sebaik berakhirnya peperiksaan HHHP1123, tepat jam 12.30 t.hari seramai 7 orang rakan-rakan kita Khairul, Mohd Noh, Linda, Shafezan, Zainal, Rozihan dan Zulkifli Hamid telah sampai di Rumah Anak Yatim Penyayang di Kampung SUngai Buaya, Banting Selangor.



Tujuan rakan-rakan kita pergi ke rumah anak yatim tersebut adalah untuk menyerahkan sumbangan sebanyak 30 kampit beras lebihan program kita yang lepas, pakaian terpakai dan seterusnya majlis tahlil selamat dan doa arwah. Doa selamat untuk kesyukuran kejayaan program kita yang lepas, untuk rakan kita Mohd Noh & keluarga yang akan bertugas di Konsulat Malaysia di Mumbai dan tahlil arwah ayah Mohd Noh dan arwah rakan Khairul yang meninggal akibat kemalangan kapal terbang kelmarin di Padang, Indonesia.

Jamuan makan disumbangkan oleh rakan-rakan kita sama ada yang turut serta dan juga tidak...

Monday, June 13, 2011

Dah selesai...

Alhamdulillah, bagi memenuhi kursus BBSM 1123 seramai 21 orang pelajar Sains Politik dan 10 orang pelajar Geografi telah bergabung tenaga menganjurkan program khidmat masyarakat yang diberi nama Program Jom Sihat selama sehari di perkampungan Orang Asli, Sungai Bumbun Pulau Carey, Kuala Langat Selangor. Acara perasmian penutup telah disempurnakanj oleh YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Prof. Dr. Ir. Othman A. Karim TNC HEPA, Encik Musa Zainal Abidin Othman Pengarah JPPEL, Dr. Hj. Arif Ismail pensyarah kursus dan isteri Dr. Rosnaini.


Turut memeriahkan program yang dilangsungkan ialah Setiausaha Agung, Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia dan rombongannya yang telah menyumbangkan 200 kampit beras dalam program berkenaan. Antara agensi kerajaan yang turut serta ialah pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat, perkhidmatan pendaftaran pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan perkhidmatan mencabut gigi, pameran dan ceramah kesihatan pergigian oleh Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia. Sementara jabatan lain yang terlibat membuat pameran ialah PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, SYABAS dan jualan cenderamata oleh masyarakat orang asli. Untuk makluman juga, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU) telah meluluskan peruntukan melebihi RM10,000.00 bagi menurap semula jalan masuk ke kampung orang asli Sungai Bumbun.



Perjalanan program diatur mulai jam 7.00 petang 10.6.2011 dengan semburan kabus bagi mencegah nyamuk adeas. Acara diteruskan pada jam 9.00 pagi 11.6.2011 dengan acara sukaneka, bengkel cara-cara menggosok gigi kepada 30 orang anak-anak orang asli, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna, ceramah kebersihan air oleh Syabas, ceramah pertolongan cemas CPR oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), cabutan bertuah, penyerahan beras 1Malaysia oleh YBhg. Dato' Kamarul Airi Ariffin, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia dan penyampaian pelbagai hadiah sukaneka dan mewarna yang disempurnakan oleh Dr. Arif bersama-sama Tok Sidin anak Bujang, Tok Batin kampung berkenaan.

Dalam upacara perasmian penutup yang turut dihadiri ramai pemimpin-pemimpin utama masyarakat setempat, majlis yang diacarakan oleh saudara Shafezan pada jam 5.30 petang itu dimulai dengan bacaan doa. Seterusnya Cikgu Mat Sudin Taupek selaku Ketua Pengarah program memulakan ucapan alu-aluan, diikuti oleh ucapan Dr. Arif selaku penyelaras program dan ucapan perasmian penutup oleh YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. YB Timbalan Menteri juga menyampaikan sijil-sijil penyertaan dan penghargaan serta diakhiri dengan 5 hadiah utama cabutan bertuah.



Sesungguhnya komitmen semua pihak sama ada 31 orang rakan-rakan pelajar yang berganding bahu dengan Majlis Belia Daerah Kuala Langat, pihak pengurusan UKM, pihak penaja, masyarakat orang asli yang bersetuju program tersebut dianjurkan di perkampungan mereka dan juga semua pemimpin masyarakat setempat serta agensi-agensi kerajaan lain telah menyumbang terhadap kesempurnaan dan kelancaran program yang diatur pada hari berkenaan.Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada kalian semua.

Oleh:

Mohd Noh Md Yunus
Setiausaha Program

Friday, June 10, 2011

Jalan ke Pulau Carey...



Untuk sampai ke pulau Carey waktu ini tidak perlu menyeberang dengan sampan atau feri, kerana telah ada jambatan. Jika dari Kuala Lumpur, PJ dan Shah Alam menggunakan Kesas Highway menghala ke Jalan Kelang, apabila sampai ke persimpangan Highway Kelang Banting, ambilah jalan ke ke kiri menghala ke Banting. Apabila sampai ke Pekan Teluk Panglima Garang, itu bermkna perjalanan ada kira-kira lebih kurang 5km. Teruskan perjalanan sehingga menemui selekoh separuh bulatan (l/k 300 meter dari Pekan Teluk Panglima Garang) yang menunjukan arah ke Pulau Carey terus dan Banting pula beluk ke kiri, maka teruskan saja perjalanan menghala ke Pulau Carey. Daripada blatan tersebut l/k 500 meter, ada simpang empat (selepas melalui bawah lebuh raya yang sedang dibina) dan beluk juga ke kanan. 100 meter dari simpang berkenaan anda akan melalui jambatan menyeberangi Sungai Langat. Itulah Pulau Carey.


Untuk sampai ke Kampong Orang Asli Sungai Bumbun, teruskan memandu l/k 4km dari jambatan tersebut dan anda akan berjumpa dengan papan tanda di sebelah kiri jalan seperti berikut.

Sementara itu, di sebelah kanan jalan pula...

Maklumat Terkiniiii...

Saudara/Saudari,

Dimaklumkan terdapat perubahan dengan perancangan program yang telah diatur dimana Unit Kawalan Vektor akan masuk ke site membuat semburan kabus pada esok petang mulai jam 7.00pm. Oleh yang demikian, kehadiran kita adalah diperlukan di sana. Mungkin tidak ramai yang boleh hadir tetapi sekiranya ada dalam 10 orang sudah memadai...

Pendaftaran masuk Hotel Metro Inn di Pekan Teluk Panglima Garang boleh dibuat mulai jam 12thari esok. Tetapi kaunter AJK akan mula dibuka pada jam 4pm untuk pendaftaran, pembahagian bilik, mengambil baju rasmi & tshirt dan tag peserta. Taklimat akhir akan dibuat pada jam 9 malam semasa makan malam (BBQ) di tempat yang akan dimaklumkan nanti. Pendaftaran kehadiran juga akan dibuat pada hari sabtu di khemah urusetia dan semua peserta dikehendaki menandatangani borang pendaftaran bagi tujuan dilampirkan bersama-sama laporan penuh yang akan dibuat oleh sdr Nazir dan seterusnya akan dikemukakan kepada Dr. Arif.

Untuk makluman juga, semalam saya telah dihubungi oleh PA kepada TNC HEPA, Prof. Ir. Dr. Othman A Karim yang memaklumkan TNC HEPA akan turut hadir semasa perasmian. Saya juga telah berhubung dengan Dr. Arif dari masa ke semasa dan beliau amat gembira dengan perancangan yang telah kita atur termasuk dengan kehadiran YB Timbalan Menteri dan TNC HEP. Justeru itu, marilah kita bersama-sama menjayakan program bersama ini dan berdoalah semoga berjaya.
Salam hormat,

Mohd Noh Md Yunus
Setiausaha Program

Bersama-sama ini dipaparkan buku program yang telah disediakan sebagai panduan...


buku aturcara








Monday, June 6, 2011

Laporan Mesyuarat Penyelarasan






Sebagaimana yang telah dimaklumkan, satu mesyuarat penyelarasan terakhir telah diadakan pada 5 Jun 2011 (ahad) bertempat di bilik aktiviti SK Sungai Bumbun. Mesyuarat yang bermula jam 5.00 petang telah dipengerusikan oleh Cikgu Mat Sudin yang turut dihadiri oleh Khairul, Mohd Noh, Nazir, Zainal, Rizihan, Shafezan, Zaiton, Siti Fatimah, 2 orang wakil Majlis Belia Daerah Kuala Langat dan 2 orang wakil masyarakat orang asli.

Banyak perkara yang telah diperincikan semula seperti aturcara program, pameran yang terlibat, makan minum, sumbangan, persiapan tempat (khemah), senarai jemputan, dana dan sumbangan, penglibatan Majlis Belia dan lain-lain... sebagaimana yang dimaklumkan, acara sukaneka diuruskan oleh pelajar geografi. Untuk maklumat lengkap, satu taklimat akhir akan diadakan kepada semua peserta selewat-lewatnya pada malam sebelum program berlangsung.


Friday, June 3, 2011

Perjumpaan Untuk Penyelarasan Akhir...

Salam hormat,

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Sdr. Khairul melalui sms, saudara/saudari yang berkelapangan adalah dijemput menghadiri satu mesyuarat akhir sebelum hari berlangsungnya program yang kita rancang. Memandangkan perjumpaan tersebut agak penting bagi tujuan penyelarasan beberapa perkara yang belum jelas dan selesai, kehadiran saudara/saudari sebenarnya sangat diharapkan bagi memastikan program yang kita cadangkan dapat dianjurkan dengan teratur dan memberi kejayaan kepada kita semua.

Perjumpaan yang dicadangkan akan diadakan sebagaimana ketentuan berikut;

Tarikh : 5 Mei 2011 (ahad)
Masa : 4.00 petang
Tempat: Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey.

Sekian dimaklumkan.

Saya yang menjalankan tugas,


Mohd Noh Md Yunus
Setiausaha Program.