Monday, June 13, 2011

Dah selesai...

Alhamdulillah, bagi memenuhi kursus BBSM 1123 seramai 21 orang pelajar Sains Politik dan 10 orang pelajar Geografi telah bergabung tenaga menganjurkan program khidmat masyarakat yang diberi nama Program Jom Sihat selama sehari di perkampungan Orang Asli, Sungai Bumbun Pulau Carey, Kuala Langat Selangor. Acara perasmian penutup telah disempurnakanj oleh YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Prof. Dr. Ir. Othman A. Karim TNC HEPA, Encik Musa Zainal Abidin Othman Pengarah JPPEL, Dr. Hj. Arif Ismail pensyarah kursus dan isteri Dr. Rosnaini.


Turut memeriahkan program yang dilangsungkan ialah Setiausaha Agung, Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia dan rombongannya yang telah menyumbangkan 200 kampit beras dalam program berkenaan. Antara agensi kerajaan yang turut serta ialah pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat, perkhidmatan pendaftaran pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan perkhidmatan mencabut gigi, pameran dan ceramah kesihatan pergigian oleh Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia. Sementara jabatan lain yang terlibat membuat pameran ialah PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, SYABAS dan jualan cenderamata oleh masyarakat orang asli. Untuk makluman juga, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU) telah meluluskan peruntukan melebihi RM10,000.00 bagi menurap semula jalan masuk ke kampung orang asli Sungai Bumbun.



Perjalanan program diatur mulai jam 7.00 petang 10.6.2011 dengan semburan kabus bagi mencegah nyamuk adeas. Acara diteruskan pada jam 9.00 pagi 11.6.2011 dengan acara sukaneka, bengkel cara-cara menggosok gigi kepada 30 orang anak-anak orang asli, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna, ceramah kebersihan air oleh Syabas, ceramah pertolongan cemas CPR oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), cabutan bertuah, penyerahan beras 1Malaysia oleh YBhg. Dato' Kamarul Airi Ariffin, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia dan penyampaian pelbagai hadiah sukaneka dan mewarna yang disempurnakan oleh Dr. Arif bersama-sama Tok Sidin anak Bujang, Tok Batin kampung berkenaan.

Dalam upacara perasmian penutup yang turut dihadiri ramai pemimpin-pemimpin utama masyarakat setempat, majlis yang diacarakan oleh saudara Shafezan pada jam 5.30 petang itu dimulai dengan bacaan doa. Seterusnya Cikgu Mat Sudin Taupek selaku Ketua Pengarah program memulakan ucapan alu-aluan, diikuti oleh ucapan Dr. Arif selaku penyelaras program dan ucapan perasmian penutup oleh YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. YB Timbalan Menteri juga menyampaikan sijil-sijil penyertaan dan penghargaan serta diakhiri dengan 5 hadiah utama cabutan bertuah.



Sesungguhnya komitmen semua pihak sama ada 31 orang rakan-rakan pelajar yang berganding bahu dengan Majlis Belia Daerah Kuala Langat, pihak pengurusan UKM, pihak penaja, masyarakat orang asli yang bersetuju program tersebut dianjurkan di perkampungan mereka dan juga semua pemimpin masyarakat setempat serta agensi-agensi kerajaan lain telah menyumbang terhadap kesempurnaan dan kelancaran program yang diatur pada hari berkenaan.Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada kalian semua.

Oleh:

Mohd Noh Md Yunus
Setiausaha Program

No comments:

Post a Comment